Khamis, 26 Ogos 2010

Anggap Kegagalan Memperolehi Hasil Pancing Sebagai Ujian

RAMAI yang bertanya, apakah petua yang membolehkan kita mendapat ikan setiap kali turun memancing. Pada masa sama, petua itu boleh mengatasi rakan pancing yang lain.

Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah. rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah dan berusaha itu satu kewajipan.

Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan peranan bagi menarik perhatian spesies ikan. Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan dengan teknik pancing dasar atau jigging.

Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar. Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti biasa. Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana tiada seekor ikan yang dapat dipancing.


Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang sama digunakan oleh rakannya? Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang. Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak. Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ketengahkan pendapat, tunjuk ajar, pandangan serta kritikan anda disini :)